Thursday 4 July 2013

Apa itu HIV (Human Immunodeficiency Virus) ?


        HIV adalah virus yang memusnahkan sistem ketahanan badan seseorang dan menyebabkan AIDS. Terdapat 2 jenis virus HIV iaitu HIV-1 dan HIV-2. HIV-1 merupakan jangkitan yang sangat berbahaya kepada orang ramai manakala HIV-2 pula tidak begitu berbahaya. HIV menyerang Sistem daya tahan badan, menyebabkan badan lemah dan tidak berupaya melawan jangkitan penyakit. Jika seseorang disahkan dijangkiti HIV, orang itu dipanggil positif HIV tetapi tidak semestinya dia menghadapi AIDS kerana AIDS adalah peringkat terakhir jangkitan HIV.
   
 *Sistem daya tahan badan adalah mekanisma badan yang terdiri daripada sel darah putih. Dalam keadaan normal, sel-sel ini membantu tubuh melawan jangkitan kuman dan penyakit yang disebabkan oleh virus dan bakteria. Apabila HIV telah menyerang badan seseorang, sel-sel ini tidak lagi mampu melaksanakan tanggungjawab mereka kerana telah dimusnahkan secara perlahan-lahan oleh HIV. Ini bermaksud bahawa HIV akan turut memusnahkan keupayaan tubuh badan untuk melawan penyakit.
   
 *AIDS (Acquired Immune Deficiency Syndrome - Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit)

AIDS bukanlah satu penyakit yang tersendiri. AIDS merujuk kepada kumpulan penyakit-penyakit yang dihidapi oleh orang-orang yang positif HIV. Dengan lumpuhnya keupayaan tubuh, mereka yang dijangkiti HIV lebih mudah terdedah kepada pelbagai jenis kuman termasuklah yang tidak membahayakan manusia normal. Di antara penyakit-penyakit ini termasuklah jangkitan-jangkitan oportunistik (iaitu yang mengambil kesempatan) seperti radang paru-paru, batuk kering, thrush (selaput putih pada lidah dan dalam mulut), beberapa jenis barah dan beberapa jenis penyakit kulit seperti kayap.

AIDS merupakan peringkat lanjutan bagi jangkitan HIV. Perkembangan penyakit ini melalui beberapa fasa:
 
Fasa 1:Bermula dengan HIV menjangkiti seseorang individu.
Fasa 2:Di mana virus tersebut membiak tetapi pesakit masih tidak mempamerkan sebarang tanda-tanda atau gejala-gejala yang tertentu.
Fasa 3:Membiak dan berkembang membawa kepada kewujudan beberapa tanda dan gejala yang memburukkan lagi mekanisme pertahanan tubuh.
Fasa 4:Pesakit mula mengalami penyakit-penyakit yang jarang berlaku yang digelar ‘infeksi oportunistik’ seperti Pneumocystis Carinii Pneumonia dan kanser termasuk Sarkoma Kaposi.
Fasa 5:Pesakit tersebut disahkan sebagai pesakit AIDS. Di dalam fasa ini, mekanisme pertahanan mengalami kemusnahan yang teruk dan sudah tidak mampu lagi untuk melawan serangan bakteria, virus dan kuman-kuman lain.

No comments:

Post a Comment